Kisah Iman Hasan Al-Basri dan Wanita Cantik
Assalamualaikum wbt.
Jom baca kisah ini -)
Dalam kitab Jawahirul Bukhari menerangkan bahawa Hasan Basri
sewaktu mudanya adalah seorang yang sangat tampan.Hasan Basri sangat suka
memakai pakaian yang cantik-cantik dan kegemarannya ialah suka berjalan-jalan
di sekitar Kota Basrah.
Pada suatu hari ketika Hasan Basri sedang berjalan-jalan maka
dia terpandang seorang wanita yang sangat cantik dan telah menarik
perhatiannya, lalu Hasan Basri mengikut belakang gadis tersebut.
Apabila wanita itu merasa ada orang mengekorinya maka dia pun
menoleh ke belakang dan dia terpandang ada orang mengekorinya, lalu wanita itu
berkata “Wahai orang muda!Apakah kamu tidak malu?”
Lalu wanita itu berkata “Malulah kepada Allah S.W.T yang Maha
Mengetahui mata yang khianat dan apa-apa yang yang terdapat dalam hati.”
Hasan Basri tertarik kepada wanita tersebut dan terpendamlah
rasa cinta dalam hatinya. Hasan Basri tidak dapat mengawal nafsunya, lalu dia
tetap mengekori wanita tersebut dari belakang.
Apabila wanita tersebut melihat orang itu terus mengikutinya
maka berkatalah wanita itu “Mengapa kamu terus mengikuti aku?”
Maka berkata Hasan Basri “Sebenarnya aku terpesona dengan matamu
yang cantik itu”
Sebaik sahaja wanita itu mendengar kata-kata orang itu maka dia
pun berkata, “Baiklah oleh kerana kamu cintakan mataku ini, maka aku harap kamu
tunggulah di sini, sebentar lagi aku akan berikan kepada kamu apa yang kamu
kehendaki.”
Setelah berkata demikian maka wanita itu pun pergi, dalam hati
Hasan Basri berkata “Nampaknya dia telah menerima cintaku.” Maka duduklah Hasan
Basri di tempat tersebut menanti kedatangan wanita itu.
Tidak berapa lama kemudian datanglah seorang pembantu (amah)
menghampiri Hasan Basri sambil memberikan sebuah kotak yang tertutup. Lalu
Hasan Basri membuka kotak tersebut dan dia terperanjat apabila dia mendapati
dalam kotak tersebut terdapat sepasang biji mata.
Kemudian berkata pembantu
rumah itu “Tuan puteriku berkata dia tidak memerlukan mata yang menyebabkan
terpesona seseorang itu.”
Apabila Hasan Basri mendengar kata-kata pembantu tersebut maka
gementarlah seluruh tubuhnya serta berdiri bulu romanya, dia pun memegang
janggutnya lalu berkata kepada dirinya sendiri “Celaka betul kamu ini, dahlah
berjanggut masih tidak ada rasa malu, sebagaimana malu wanita itu.”
Setelah Hasan Basri menyedari kesalahannya dia pun pulang ke
rumah dan menangis semalaman.
Pada keesokan harinya Hasan Basri terus pergi ke rumah wanita
itu untuk meminta maaf dan supaya dia menghalalkan kesalahan yang telah dia
lakukan.Apabila dia menghampiri rumah wanita tersebut, maka diapun bertanya
kepada mereka yang berada di situ dan Hasan Basri diberitahu bahawa wanita itu
telah meninggal dunia.
Hasan Basri tidak dapat menahan kesedihannya lalu dia kembali ke
rumah dan menangis selama tiga hari, pada malam yang ketiga Hasan Basri
bermimpi bertemu dengan wanita tersebut , wanita tersebut telah ditempatkan di
dalam syurga.Lalu Hasan Basri berkata “Kamu halalkanlah segala kesalahanku
terhadapmu.”
Kemudian wanita itu berkata “Sesungguhnya aku telah menghalalkan
segala-galanya dan aku telah mendapat kebaikan yang banyak dari Allah S.W.T
sebab kamu”
Setelah Hasan Basri mendengar perempuan tersebut maka dia pun
berkata “Berikanlah kepadaku sesuatu nasihat yang baik.”
Berkata wanita itu “Dengarlah nasihatku ini. Apabila kamu
bersendirian hendaklah kamu berzikir kepada Allah S.W.T setiap pagi dan petang,
beristigfarlah , mohonlah ampun kepada Allah S.W.T dan bertaubatlah kepadanya.”
Akhirnya Hasan Basri melaksanakan segala yang di nasihatkan
kepadanya sehingga dia menjadi seorang yang masyhur di kalangan masyarakat
dengan zuhudnya dan taat kepada Allah S.W.T dan dia memperolehi darjat yang
tinggi lagi mulia di sisi Allah S.W.T serta menjadi wali kekasih Allah.
Allah berfirman :
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ * وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat". Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya” [QS. An-Nuur : 30-31].
--------------
Sememangnya membaca kisah-kisah wanita solehah memberi inspirasi pada diri ini, dan para wanita utamanya.
Ini bukan kali pertama baca. Tapi setiap kali membacanya pasti rasa sayu dan panas je mata ini. Ini kisah wanita syurga.
Cuba kita bayangkan betapa solehah dan waraknya wanita tersebut sehingga sanggup mencungkil mata sendiri kerana matanya itu menjadi fitnah kepada insan bergelar lelaki.
Sungguh, dia telah menjaga dirinya sehabis mungkin dan sedikitpun perkara yang mengganggu keimanan seorang lelaki tidak dibiarkan.
Dia menjaga iman dirinya dan iman lelaki tersebut.
Wanita ini sanggup mengorbankan matanya kerana matanya yang cantik itu telah menjadi tarikan dan fitnah lelaki. Dan dengan itu dia beroleh syurga. Mahal bukan syurga itu??
Kita???
Beza kan dengan kebanyakan wanita sekarang...
wanita kini berlumba-lumba mempamerkan perhiasan dan menjadi fitnah lelaki
wanita kini berlumba-lumba menonjolkan kecantikan diri agar dilihat dunia
wanita yang sanggup menggadaikan aurat demi kelihatan cantik
wanita yang sanggup kehilangan malu kepada Allah untuk menarik pria
wanita yang sanggup kehilangan iman demi lelaki
nauzubillah min zalik...
Ada suatu kisah benar berlaku, minda saya terngiang-ngiang ingatan akan kisah ini. Di mana saya mendengarnya..sudah lupa. (maaf jika lain sikit jika anda tahu..tapi lebih kurang beginilah mampu saya ingat)
'Wanita tersebut berjalan di waktu malam dan kemudian diekori oleh dua lelaki kafir yang berniat tidak baik terhadap wanita tersebut. Tetapi Allah telah menjaga wanita tersebut dengan menghijabkan pandangan mereka daripada melihat wanita itu..Maka selamatlah wanita itu di bawah lindungan dan rahmat Allah.'
Subhanallah. Kagum mendengar kisah ini..Pastinya dia wanita solehah...
Pernah tak terfikir, andai kita di tempat yang sama..layakkah kita mendapat lindunganNYA dengan iman yang ada sekarang..(menangis diri ini mengenangnya)-namun dalam hati tetap bersyukur DIA sentiasa jaga diri ini tak kira mana pergi..
Maka, nak bersyukur ke tidak Allah masih jaga kita, wahai wanita..
Allah kurniakan kita dengan nikmat yang melimpah ruah walaupun kita ni kadang dan selalu sekali terleka dengan godaan dunia. Masih tidak takutkah kita bila diperingatkan dengan balasan azab buat wanita yang mendapat murkaNYA. Tak sedihkah kita bila Rasulullah sendiri bersabda bahawa penghuni neraka itu ramainya wanita?...
Apalah sangat berkorban di dunia yang sementara ini berbanding akhirat yang kekal selama-lamanya..selama-lamanya... Dengan dunia yang berlalu sangat pantas, yakni sudah di akhir zaman..
Saya masih ingat pernah memikirkan soal akhirat yang selama-lamanya ini masa berumur 12 tahun. Berbual dengan seorang kawan. Di sekolah agama (petang).
'Akhirat itu kelak kekal selama-lamanya...tidak mati. tidak berpenghujung. Jika orang itu tempatnya di syurga, selama-lamanya....selama-lamanya tuu...sampai bila? sampai bila-bila la....' Yang pastinya otak ini tak mampu nak berfikir lebih. Jadi buntu dan sesak kalau fikir lagi. Di luar kemampuan akal. Tak pernah saya lupa sampai sekarang akan ingatan akan dunia akhirat yang kekal.. tetapi seringkali diri terbabas dalam kelalaian...
Azabnya neraka yang diceritakan dalam Al-Quran mampu buat kita menangis teresak-esak..Allah dah ingatkan berulang-ulang kali azabNYA amat keras, bagi yang tidak ikut...
--seperti yang diceritakan dalam surah al-Waqiah...surah kegemaran sejak suatu ketika...'Makanan buat orang neraka itu dari pohon zaqqum, yang menderitakan seseiapa yang memakannya. Kemudian mereka akan minum air yang sangat panas. Minum seperti unta yang sangat haus...'
Kita ni, sakit perut sedikit di dunia pun kadang sudah tidak berdaya. Kadang sakit di dunia dah tak tertahan. Maka mampukah kita tahan sakit di akhirat yang entah berapa kali ganda kesakitannya...
Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Al-A'raaf 7:153)
Rahmat Allah itu sangat luas. Kasih sayangNYA sangat luas. Namun, jika kita sendiri tidak berusaha mendapatkannya, siapa lagi. Ilmu terbantang depan mata. Kebenaran itu jelas. Hidayah belum tentu datang bergolek pada kita. Percayalah. Hidayah dan pertolongan itu akan datang, pada yang meminta. Tak henti meminta. Lepas tersungkur minta lagi. Lepas terbabas minta lagi. Semakin kita cuba ingat DIA, DIA akan semakin ingat kita. Jika kesenangan melalaikan kita dari mengingatiNYA, maka DIA turunkan kasih sayang berupa ujian supaya kita dekat dengan DIA. Seringkali, kita ingat DIA saat susah. Saat yang mana kita berdoa dengan banyak sekali. Khusyuk sekali. Allah takkan biarkan kita jauh dariNYA lagi bila DIA sayang kita.
Allah sayang kita jauh lebih banyak daripada sayang kita padaNYA..tidak terhitung..
Jom, muhasabah diri ...
#selfreminder
Comments