Beku kursus perubatan tak jejas dasar

Baca lagi jom!! -)





Beku kursus perubatan tak jejas dasar
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/05/07





Salam.
Jom kita baca lagi cerita pasal beku kos medic ni lebih lanjut..he2..-p


PEJABAT Dekan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Raymond Azman Ali dihujani panggilan telefon ibu bapa yang kecewa dengan pembekuan penawaran kursus baru bidang perubatan di institusi pengajian tinggi (IPT) selama lima tahun mulai 1 Mei lalu hingga 30 April 2016. 

Ramai ibu bapa pelajar yang mengikuti program matrikulasi, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kecewa dan bimbang cita-cita anak mereka untuk menjadi doktor gagal.



Melanjutkan pelajaran ke luar negara mungkin pilihan kedua, namun tidak ramai mampu berbuat demikian berikutan kos pengajian tinggi dan sukar memohon biasiswa atau penajaan sama ada daripada jabatan dan agensi kerajaan atau sektor swasta atau korporat.


Pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu dilihat ibu bapa sebagai tidak diduga kerana sebelum ini tiada desas-desus mengenainya. 

Dr Raymond Azman yang juga Pengarah Pusat Perubatan UKM mengakui, beliau menerima panggilan bertali arus daripada ibu bapa termasuk ada yang merayu supaya mencadangkan kepada KPT untuk meneruskan program berkenaan. 

Katanya, sebelum ini UKM bersama universiti penyelidikan lain iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) ada memohon kepada KPT supaya pengambilan pelajar program perubatan dikurangkan. 



Sebagai contoh katanya, bagi pengambilan di UKM yang selama ini lebih 200 pelajar setahun dikurangkan kepada 160 hingga 150 pelajar bagi mengelak kesesakan di fakulti atau sekolah perubatan dan kekurangan hospital pengajar yang sekali gus menjejaskan latihan dan kualiti graduan. 


Ada hospital pengajar yang sepatutnya menempatkan tiga doktor pelatih di sebuah wad terpaksa mengambil 12 hingga 13 pelatih yang menyebabkan berlaku kesesakan. Ini berikutan penambahan tempoh latihan di wad daripada setahun kepada dua tahun yang ditetapkan Kementerian Kesihatan. 

Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan UKM lebih lima tahun lalu dengan pengurangan pengambilan pelajar perubatan dilaksanakan dari semasa ke semasa. 

Dr Raymond Azman berkata, barangkali ada ibu bapa yang masih keliru dengan keputusan itu kerana mereka melihat tempoh lima tahun terlalu lama dan membimbangkan pelbagai pihak berlaku ketiadaan doktor pelatih di hospital pengajar. 

Sehubungan itu, katanya, pihak KPT perlu memberi penjelasan berhubung keputusan itu bagi mengelakkan keresahan dalam kalangan ibu bapa. 

Katanya, paling penting ketika ini adalah melahirkan lebih ramai doktor pakar terutama untuk rawatan kanak-kanak, farmasi dan bius. Ketika ini negara mengalami kekurangan pakar bius. 

Beliau berkata, operasi pembedahan sukar dilaksanakan tanpa pakar bius yang sekali gus menjejaskan operasi rawatan pesakit. 

“Pada masa sama, berlaku ketidakseimbangan doktor pakar di negara ini dengan lebihan di Kuala Lumpur, manakala kekurangan di Terengganu dan Sabah,” katanya. 

Dr Raymond berkata, kini banyak IPTA dan IPTS memohon menawarkan program perubatan yang dikhuatiri menyebabkan sekolah dan fakulti perubatan tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Sehubungan itu, KPT hendaklah bertegas supaya tidak melulus-kan permohonan itu bagi mengelak kes doktor sukar memperoleh kerja seperti di Filipina. 










Kelmarin, Mohamed Khaled mengumumkan kerajaan membekukan penawaran kursus baru bidang perubatan di IPTA dan IPTS selama lima tahun, bermula 1 Mei lalu.


Khaled berkata, pembekuan itu dilaksanakan berikutan peningkatan ketara graduan perubatan dikeluarkan IPT, kompetensi pegawai perubatan siswazah, tenaga pengajar dan masalah kekurangan hospital pengajar.


Keputusan pelaksanaan moratorium (pembekuan) ini diambil pada mesyuarat Kabinet Rabu lalu, namun ia tidak akan menjejaskan bilangan pegawai perubatan yang diperlukan negara dan pelajar yang sedang mengikuti pengajian masing-masing.


Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr David Quek Kwang Leng, berkata keputusan KPT itu tidak menjejaskan dasar 1:400 pada 2020, malah sasaran itu akan dicapai lebih awal.


Katanya, paling penting sekarang memfokuskan perancangan untuk latihan tenaga pengajar, kemudahan latihan, bahan latihan dan rawatan pesakit.


Beliau berharap, pengumuman itu juga tidak menjejaskan cita-cita ibu bapa yang mahukan anak mereka menjadi doktor.


“Bukan mudah untuk menjadi doktor kerana memerlukan kos tinggi serta latihan bersungguh-sungguh bagi memastikan graduan mampu menjadi doktor bermutu tinggi.


“Seorang doktor juga hendaklah dilatih supaya sentiasa sihat dan segar dan tidak stres atau lesu, sebaliknya menggunakan sebaiknya kematangan dan psikologi atau kekuatan mental untuk merawat pesakit,” katanya.


Seorang peniaga dari Kota Kinabalu, Sabah, Razak Rakunman berharap keputusan kerajaan membekukan kursus baru perubatan untuk dapat memastikan kualiti kursus itu ditingkatkan dan pada masa sama mengekang peningkatan ketara bilangan graduan perubatan dilahirkan IPT.


Bagaimanapun, katanya, beliau bimbang berlaku kekurangan doktor kerana pernah melalui pengalaman menunggu kedatangan doktor sehari suntuk ketika menjalani rawatan fisioterapi di Kota Kinabalu, baru-baru ini.


Beliau berkata, sekian lama menunggu akhirnya datang seorang pakar fisioterapi yang kemungkinan dari India serta tidak pandai berkomunikasi dalam bahas Malaysia.


“Nasib baik saya boleh berbahasa Inggeris, bayangkan jika orang kampung yang tidak berpendidikan menerima rawatan. Bagaimana mereka berkomunikasi dengan doktor itu,” katanya.


sumber:http://www.bharian.com.my/articles/Bekukursusperubatantakjejasdasar/Article/



Comments